Monday 2 January 2012

2012

Selamat Menyambut Tahun Baru 2012. Tentunya kita mengharapkan yang lebih baik untuk hari mendatang. Tentunya kita mahu azam tahun lepas tercapai dan kalau tidak.. dibawa ke tahun seterusnya. Seperti biasa.

Setiap tahun saya berazam mahu jadi lebih baik. Baik dengan Tuhan, dengan diri sendiri, dengan keluarga, dengan kawan-kawan. Tetapi jika perubahan itu drastik, mungkin tidak akan bertahan lama.

Saya juga cuba untuk membersihkan hati sendiri dengan memaafkan beberapa orang yang pernah menyakitkan hati. Ada setengahnya yang saya maafkan dan ada yang saya diamkan sahaja.

Sesetengah manusia, tidak akan lut dengan kata-kata. Ada yang lebih sadis, mereka yang menghuru-harakan hidup orang lain tapi mereka pula yang rasa teraniaya. Tak perlu senyum, tak perlu kata apa-apa. Biarkan sahaja dan jauhi mereka.

Saya juga tidak kisah orang perli-perli atau mengumpat saya. Lebih-lebih lagi jika taraf hidup saya lebih baik darinya. Katakan apa sahaja, saya tidak tergugat. Rezeki saya tetap masuk, hidup saya tetap damai. Jika hanya itulah hiburan yang mereka ada, rasa lebih gembira jika dapat mengata saya, silakan.

Perang mulut takkan ke mana. Lagi-lagi di zaman internet ini ramai sungguh yang mahu jadi keyboard warrior. Memaki-maki orang tetapi diselitkan dengan hadis dan firman Tuhan.

Kesudahannya, saya memilih untuk bergembira hanya dengan sahabat-sahabat saya yang sekepala. Saya tidak perlu jadi mereka dan mereka tidak perlu jadi saya. Kita sama-sama beriringan menghadapi masa depan, dalam tawa dan ria.

Saya tidak mahu dengar kesusahan orang. Saya mahu dengar yang baik-baik sahaja. Jangan datang bercerita dengan saya kepayahan untuk melangkah meninggalkan cinta hati kamu (konon) yang mendera kamu, kerana kamu tahu jawapannya. Saya tidak mahu bazirkan nasihat saya untuk orang yang tiada usaha. Saya juga tidak mahu dengar masalah kewangan sesiapa, kerana kita semua pernah susah dan ketika saya susah, saya tidak cari kamu. Kita sama-sama dewasa dan punya keluarga sendiri makanya kita perlu berdikari.

Saya berdoa agar segala apa yang telah saya ada ini dipelihara Allah. Saya tidak mahu rumah lebih besar, kereta lebih sporty, duit lebih banyak, rupa lebih cantik, tubuh lebih cergas, pangkat lebih besar, suami lebih mantap dan anak lebih ramai... TIDAK. Saya hanya mahu simpan apa yang telah saya ada sekarang. Saya mahu hidup saya terus damai, jiwa saya terus tenang. Seperti sekarang ini.

One word, Alhamdulillah.

Selamat Tahun Baru.