Wednesday 1 July 2015

Cik

Lama sungguh tak bukak blog ni..

Pertama kali dalam hidup... kehilangan seorang yang rapat. Mungkin bagi orang lain.. nenek adalah orang yang dia jumpa masa raya atau cuti sekolah je. Tapi nenek aku atau nama panggilannya Cik... ada bersama keluarga ni sejak aku lahir.. sehingga umur aku 32.. dia ikut parents aku balik ke Terengganu... menetap kembali di tanah tempat asal dia dahulu. Selepas tu aku hanya jumpa Cik bila balik kampung.. sehinggalah pada 27/6/15 ... aku terima khabar yang Cik dah takda.

Aku bukan cucu yang taat... aku banyak jugak sakitkan hati Cik. Tapi Cik dalam garang dalam cerewet dan suka menyumpah aku.. Cik tetap sayang aku sebagai cucu dia yang paling rapat. Aku sayang Cik macam aku sayang mak aku.. sama. Semenjak aku kerja.. aku akan belikan barang untuk mak dan Cik.. sama jumlahnya. Kadang-kadang mak kecik hati kenapa Cik pun dapat.. lebih dari mak kadang2. Tapi aku sayang dua2. Aku membesar dengan Cik... aku banyak belajar macam2 dari Cik. Kenangan tu terlalu banyak.

Sampai jugak hajat Cik nak tengok aku kawen.. dapat jugak Cik pegang cicit dia. Cik pergi dalam tidur.. tidur nyenyak atas katil yang aku belikan untuk dia masa mula-mula kerja dulu. Aku sampai sana Cik dah dikebumikan.. tak dapat aku pegang dan peluk dan cium Cik buat kali terakhir. Sampai hati Cik pergi tanpa ada alamat dan apa2 tanda.

Biasanya kalau nak raya aku akan belikan Cik sepersalinan dari hujung rambut sampai hujung kaki. Cik suka sangat sandal ada manik kilat2.. bling2 gitu. Walaupun Cik dah tak boleh jalan... aku tetap belikan dia kasut raya walaupun dia cuma pakai atas katil. Cik... tahun ni kita tak dapat bagi Cik baju raya dah... aritu kita belikan ubat kat Cik tapi Cik sempat makan setengah botol je... Cik panggil2 nama kita tapi kita tak sempat jumpa Cik...

Apa pun aku redha Cik pergi dalam keadaan yang mudah, tenang dan di bulan Ramadhan yang mulia ini... mungkin Cik tak tahu betapa sayangnya kita kat Cik... betapa rindunya kita. Sakit sangat perasaan ralat, rindu cmni Cik.. bawaklah kasih sayang kita sama Cik... kita tau Cik happy kat sana. Makbul permintaan Cik nak pergi di bulan puasa.. semoga Cik bahagia..

Al Fatihah.

Sunday 31 March 2013

Terima Kasih

Terima Kasih. Dua perkataan lima sukukata. Tidak pendek dan tidaklah panjang mana. Tidak juga berbelit sebutannya. Namun masih ramai yang berat mahu mengucapkannya.

Ucapan Terima Kasih menggambarkan adab pada diri.  Ianya perbuatan yang tidak mengeluarkan duit, cuma sedikit sahaja tenaga untuk mengucapkannya. Namun impaknya sangat besar kerana ia membuatkan pengucapnya dilihat beradab dan tahu menghargai orang lain dan penerimanya merasa dihargai dan suka hati.

Tidak perlu tunggu dapat hadiah gelang berlian baru nak ucap Terima Kasih. Jangan sehingga orang kata kita takda adab baru nak cakap Terima Kasih. Tidak salah berterima kasih sesama manusia.. selain bersyukur kepada Tuhan.

Ada spesis manusia yang rasa dirinya memang patut dibantu kita atau memang kewajipan kita untuk menolong dia. Maka ucapan Terima Kasih itu tidak perlu kerana ianya kewajipan. Inilah spesis manusia-manusia ego yang walaupun telah nyawa-nyawa ikan kesusahan dan ada yang sudi membantu.. ucapan Terima Kasih pun tidak terucap lagi... membalas budi jauh sekali.

Jadi sekiranya ada yang masih tertanya-tanya mengapa hidup tak pernah senang, rezeki tersekat.. mungkin juga kerana lidah sendiri sering tersekat untuk mengucapkan Terima Kasih.

Jadinya lain kali orang lain tidak ada kewajipan lagi mahu membantu. Apa jasa pun ada mau dibantu setiap masa.

Ada tulang empat kerat dan ada juga kudrat... maka berdikarilah selagi larat.

Wednesday 9 January 2013

Adab menumpang...

Bangsa Yahudi dikecam kerana merampas tanah Palestin..

Bagaimana pula dengan bangsa yang hidup menumpang rumah orang, tetapi akhirnya dia pulak macam tuan rumah?

Jangan berselindung di sebalik hadis dan ayat Quran kalau perangai sendiri lebih teruk dari Yahudi.

Kalau tiada yang sudi bagi menumpang mungkin sudah merempat di tepi jalan.


Tuesday 8 January 2013

2013

Selamat Datang 2013!!!

Phuiiii lamanya tak update... tak tahu nak cerita apa. Hidup pun biasa-biasa je... rutin. Tapi rutin yang membosankan ini adalah lebih baik dari drama dan tragedi yang tak berkesudahan.

Lima hari seminggu saya mengharungi benda yang sama. Bangun pagi, uruskan diri, uruskan anak, hantar anak ke taska, pergi kerja, buat kerja, balik kerja, uruskan hal atas rumah, melayan makan minum suami dan anak, main2 dengan anak, tidur.

Hari minggu saya dipenuhi dengan aktiviti menguruskan hal-hal rumah kerana itulah sahaja masa yang saya ada.

Dah lama saya tak keluar shopping di Pavillion atau Starhill, atau menonton wayang atau berkaraoke.

Entah kenapa.. bagi saya ke pasar dan membeli barang makanan lebih membahagiakan dari membeli baju. Mungkin fasa hidup dah lain.

Melayan anak dan suami di rumah lebih seronok dari kopi-kopi di Starbucks.

Ini sayalah, orang lain saya tak tahu. Cara masing-masing. Apa pun, saya kahwin lambat.. di usia 34. Mungkin saya sudah letih dengan aktiviti bujang maka apa yang saya alami sekarang menenangkan hidup saya.

Saya bukan orang kaya, tidak juga cantik jelita atau bijaksana. Sedang-sedang saja.

Mungkin sentiasa bersyukur dengan apa yang ada juga menerbitkan bahagia.

Apa azam 2013? Saya cuma mahu mengekalkan kebahagiaan dan ketenangan ini.

Alhamdulillah.

Saturday 7 April 2012

Seronoknya jadi isteri dan ibu...

Seronok jadi isteri bila dapat membelai dan mencurah kasih sayang pada suami sepenuhnya.

Seronoknya bila memasak dan suami menikmati makanan hasil air tangan kita dengan lahap dan gembira.

Seronoknya bila dapat mengemas dan menghias rumah dengan cantik. Tak kiralah samada rumah kecil ke besar, buruk ke lama, beli atau sewa asalkan selesa dan bahagia di dalamnya. Suami macam taknak keluar rumah sebab seronok duduk dalam rumah yang cantik dan selesa dihias isteri.

Seronok bila dapat berhias cantik dan suami bangga sebab isterinya cantik di matanya.

Seronok bila surf berbagai website tentang resepi, cara penjagaan rumah dan keluarga kemudian nk buat benda yang sama untuk keluarga kita.

Seronok pula bila dah jadi ibu, dapat membelai dan mencurahkan kasih sayang pada anak-anak juga.

Seronok dan puas hati bila lihat anak-anak membesar dengan sihat dan gembira kerana kita jaga anak-anak dengan baik.

Seronok beli baju-baju anak, sediakan makan minumnya dan bersengkang mata untuk kebahagiaan mereka.

Seronoknya bila jadi wanita bekeluarga...

Bukan semua orang ada rezeki yang sama. Bukan semua orang akan bertemu jodoh dan ada rezeki berkeluarga.

Jadi jika berpeluang.. mengapa ada yang mensia-siakan peluang keseronokan ini?

Kenapa jadi isteri yang malas memasak, malas mengemas, malas membelai suami, malas jaga rupa sendiri?

Kenapa mesti hari-hari tapau makan, rumah bersepah kotor, rupa pun tidak berjaga.. comot sahaja?

Ingat tugas isteri beranak sajakah... memadai?

Bila dah ada anak... kenapa tidak diberi perhatian secukupnya?

Kemudian alasan penat, anak ramai.. takda masa kemas rumah.. takda masa memasak....

Hendak seribu daya, tak hendak... seribu dalih.

Monday 19 March 2012

Berjimat adalah nikmat!!

Sejak mempunyai keluarga sendiri, saya banyak mencari cara untuk berjimat dan memotong perbelanjaan yang tidak dirasakan perlu. Bukanlah bermaksud tidak cukup duit tetapi bukankah lebih baik jika lebihan duit boleh disimpan dengan lebih banyak untuk kegunaan masa hadapan.

Sebenarnya sejak bujang lagi saya tidak berapa suka berhabis untuk perkara yang saya tidak nampak. Contohnya saya tidak akan memandu melebihi kelajuan atau parking kereta sesuka hati kerana saya tidak mahu bayar saman. Saya tidak suka mengeluarkan duit beratus beribu untuk benda yang saya tidak miliki. Alhamdulillah.. selepas lebih dari sepuluh tahun memiliki kereta sendiri saya tidak pernah disaman atas kesalahan memandu. Tetapi saya ada dua saman ekor. Itupun kerana suami saya yang memandu laju kereta saya. Pffhttt. Kesimpulannya saya memang tidak pernah kena saman trafik akibat sikap saya sendiri.

Saya juga tidak suka menonton wayang sejak dahulu. Bagi saya menonton wayang sangat membazir. Tiket wayang mahal. Itu tidak termasuk kos minyak kereta dan tol untuk ke panggung. Sebelum tengok wayang mau makan-makan dahulu. Nak masuk wayang kena beli popcorn, coke dan keropok dan macam-macam lagi baru sedap tengok wayang. lepas habis wayang mahu keluar minum-minum. Sebelum balik, bayar parking. kemudian bayar tol, minyak kereta pun berkurang lagi. Kemungkinan juga wayang mahal yang ditonton tadi tidak dapat ditonton dengan puas kerana ada yang buat bising atau bangun melintas di depan. Jadi saya lebih suka duduk di rumah layan Astro Movies atau DVD.

Saya hanya akan keluar jika saya mahu beli barang. Window Shopping tiada dalam hidup saya. bagi saya, Window Shopping hanya menyakitkan hati. Tetap kena keluar, isi minyak, bayar tol, parking, makan minum, habis tenaga mengintai dari luar kedai dan pulang dengan tangan kosong dan perasaan kempunan. Saya hanya akan pulang dengan sesuatu.

Saya tidak suka sepahkan duit syiling merata-rata. Setiap hari duit syiling yang ada akan saya masukkan ke dalam tabung. Apabila tabung penuh saya akan bawa ke kedai untuk ditukar dengan duit kertas. Dahulu suami saya tidak kisah hal ini tetapi sekarang dia juga sudah pandai keluarkan lebihan syiling dari poket dan masukkan ke dalam tabung yang tersedia.

Saya suka mandi lama-lama dan lulur kulit. Sekarang saya buat sendiri scrub badan dan saya boleh guna dengan banyak dan kerap tanpa rasa bersalah. Saya pakai losyen badan dan krim mandian yang murah sahaja. yang penting ialah kekerapan penggunaannya.. tetap akan menampakkan kesan. Apalah gunanya beli krim mahal-mahal lepas itu sayang nak pakai.

Sabun lebih murah dari gel mandian. Tetapi ramai suka gunakan gel mandian kerana senang dan tak melekat sana sini macam sabun. Cara mudah dan jimat ialah parutkan sabun mandi dan masukkan ke dalam bekas. Campur dengan air dan tuang ke dalam botol gel mandian yang telah kosong. Ianya akan bertukar menjadi gel mandian cuma mengambil sedikit masa untuk sabun mencair dan sebati dengan air.
Kalau selalu ke hotel... jangan buang sabun-sabun percuma. Guna cara yang sama dan jadikan handwash.

Saya juga tidak lagi beli rubber band kerana saya kumpul dari getah pengikat plastik2 makanan atau barang yang dibeli. Plastik juga jangan dibuang kerana boleh digunakan untuk mengisi sampah.

Saya tidak buang balang jem, balang nescafe dan tin susu. Semuanya akan saya cuci dan balang-balang itu saya gunakan untuk mengisi rempah, gula, garam dan sebagainya. Tin susu saya gunakan sebagai pasu bunga untuk tanaman pokok-pokok herba yang kecik juga untuk mengisi barang-barang kecil seperti skru dan paku.

Saya gunakan lampin kain untuk anak saya di rumah. Sekurang-kurangnya dapat menjimatkan penggunaan lampin pakai buang. Lampin kain memang agak mahal tetapi sangat jimat untuk jangka panjang.

Baju-baju anak saya yang tidak lagi muat atau pudar, saya potong-potong dan jahitkan kembali untuk dijadikan selimut untuknya. Sangat personal touch dan eksklusif.

Majalah-majalah lama dan suratkhabar saya kumpul dan jual pada Paper Lama.... Paper Lamaaaa!!!!! Ada baju-baju, kasut dan beg tangan saya yang lama tetapi masih elok saya beri kepada mereka yang memerlukan, begitu juga dengan pinggan mangkuk dan periuk lama.

Jangan lupa, kemahiran memasak sangat penting untuk penjimatan. Perbelanjaan membeli makanan siap untuk setiap hari amat tinggi jika dibandingkan dengan kos memasak sendiri.

Rajin-rajinkan diri untuk mengemas dan mencuci rumah sendiri. Perkhidmatan mencuci rumah berharga RM20 sejam paling kurang. Ringankan tulang, bangun sapu sampah, mop lantai, cuci rumah sendiri. Ajak suami. Ianya boleh menjadi aktiviti keluarga yang menyeronokkan dan mengeluarkan peluh. Apa guna pergi gym kalau rumah macam reban ayam.

Jika suka berinternet, jangan hanya pandai buka Facebook sahaja. Cubalah layari laman-laman web DIY  yang sangat menyeronokkan. Di samping mendapat ilmu, masa lapang juga terisi dengan berbagai aktiviti bersama keluarga. Duit pun jimat.

Monday 5 March 2012

Cermin Diri



Saya ada beberapa kenalan yang mana cita-cita mereka mahu kahwin orang kaya sahaja.

Ada yang sudah bersuami dan beranak pinak pun kembali solo kerana mengejar cita-cita ini yang masih belum kesampaian.

Dari satu segi, yelah kan.. cita-cita dan impian masing-masing kita tak boleh halang.

Cuma ada beberapa soalan bermain di fikiran.

Yang pertama... layakkah?

Bukan apa.. orang kaya sudah tentu ada taste. Kalau cari pasangan sudah tentu mereka mahu yang setaraf. Kalau pun tidak sekaya mereka, sudah tentu yang layak untuk dibawa ke barisan hadapan dan bergaul dengan si kaya-si kaya lain dengan bangganya.

Jadi cermin diri dulu... bagaimana diri sendiri?
Adakah cukup cantik dan cukup terjaga... PERIBADI?
Kalau bahasa pun macam minah rempit.. status di Facebook dan Twitter tak pernah yang positif, hanya duka lara dan membenci, ada tak?

Cukup anggunkah pemikiran? Adakah boleh diajak berbicara tentang isu-isu semasa dunia? Adakah mampu memberi pendapat sendiri jika ditanya tentang krisis ekonomi negara Timur atau pergolakan politik Asia Barat?

Bagaimana pembawakan diri?
Adakah rambut tersisir rapi, atau bertudung kemas melindung diri, 
kulit berjaga tanpa cacat cela, bersolek mengikut kesesuaian diri 
dan bukan ikut idola tv realiti?

Bagaimana kesesuaian pakaian dengan beg tangan, kasut, barang kemas... 
Adakah less is more atau macam pokok Krismas?

Bagaimana adab di meja makan? 
Adakah makan dengan lahap dan ketawa berdekah-dekah
Pantang orang nak belanja siap order hidangan paling mahal
atau 
siap tapau?
Mungkin juga selit sudu garfu atau ashtray cantik 
ke dalam beg untuk dibawa balik?

Walaupun tidak memiliki..
Tahukah apa itu LV, Gucci?
Prada, Bottega?
Apa Chanel, apa makna Apparel?
Apa itu Haute Couture?
Mana dari Paris dan Mana dari Milan?
COACH bukan dari France ya sayang
Bonia juga bukan dari Itali

Jadi sebelum bermimpi...
Polish diri dahulu
Jadilah wanita anggun
Jadi wanita bijak
Jadi wanita berilmu
Jadi wanita yang lengkap ilmu wanitanya

Alangkan secantik Erra Fazira pun hanya pilih Engku Emran yang kerja makan gaji
Apatah lagi jika kita yang kuku kaki Erra Fazira pun tidak terbanding.

Adakah diri secantik Marion Caunter layak kahwin tauke Naza 
atau bentuk badan saling tak tumpang macam meja kaunter pertanyaan?

Maka cerminlah diri
Carilah yang sepadan sahaja

tapi

jika dh memang tuah
takpalah, rezeki jangan ditolak.

tapi

jika mencanang sana sini beritahu

SAYA MAHU KAHWIN ORANG KAYA

takut kesudahannya nanti hanya mampu makan roti seKAYA

; )