Monday 19 March 2012

Berjimat adalah nikmat!!

Sejak mempunyai keluarga sendiri, saya banyak mencari cara untuk berjimat dan memotong perbelanjaan yang tidak dirasakan perlu. Bukanlah bermaksud tidak cukup duit tetapi bukankah lebih baik jika lebihan duit boleh disimpan dengan lebih banyak untuk kegunaan masa hadapan.

Sebenarnya sejak bujang lagi saya tidak berapa suka berhabis untuk perkara yang saya tidak nampak. Contohnya saya tidak akan memandu melebihi kelajuan atau parking kereta sesuka hati kerana saya tidak mahu bayar saman. Saya tidak suka mengeluarkan duit beratus beribu untuk benda yang saya tidak miliki. Alhamdulillah.. selepas lebih dari sepuluh tahun memiliki kereta sendiri saya tidak pernah disaman atas kesalahan memandu. Tetapi saya ada dua saman ekor. Itupun kerana suami saya yang memandu laju kereta saya. Pffhttt. Kesimpulannya saya memang tidak pernah kena saman trafik akibat sikap saya sendiri.

Saya juga tidak suka menonton wayang sejak dahulu. Bagi saya menonton wayang sangat membazir. Tiket wayang mahal. Itu tidak termasuk kos minyak kereta dan tol untuk ke panggung. Sebelum tengok wayang mau makan-makan dahulu. Nak masuk wayang kena beli popcorn, coke dan keropok dan macam-macam lagi baru sedap tengok wayang. lepas habis wayang mahu keluar minum-minum. Sebelum balik, bayar parking. kemudian bayar tol, minyak kereta pun berkurang lagi. Kemungkinan juga wayang mahal yang ditonton tadi tidak dapat ditonton dengan puas kerana ada yang buat bising atau bangun melintas di depan. Jadi saya lebih suka duduk di rumah layan Astro Movies atau DVD.

Saya hanya akan keluar jika saya mahu beli barang. Window Shopping tiada dalam hidup saya. bagi saya, Window Shopping hanya menyakitkan hati. Tetap kena keluar, isi minyak, bayar tol, parking, makan minum, habis tenaga mengintai dari luar kedai dan pulang dengan tangan kosong dan perasaan kempunan. Saya hanya akan pulang dengan sesuatu.

Saya tidak suka sepahkan duit syiling merata-rata. Setiap hari duit syiling yang ada akan saya masukkan ke dalam tabung. Apabila tabung penuh saya akan bawa ke kedai untuk ditukar dengan duit kertas. Dahulu suami saya tidak kisah hal ini tetapi sekarang dia juga sudah pandai keluarkan lebihan syiling dari poket dan masukkan ke dalam tabung yang tersedia.

Saya suka mandi lama-lama dan lulur kulit. Sekarang saya buat sendiri scrub badan dan saya boleh guna dengan banyak dan kerap tanpa rasa bersalah. Saya pakai losyen badan dan krim mandian yang murah sahaja. yang penting ialah kekerapan penggunaannya.. tetap akan menampakkan kesan. Apalah gunanya beli krim mahal-mahal lepas itu sayang nak pakai.

Sabun lebih murah dari gel mandian. Tetapi ramai suka gunakan gel mandian kerana senang dan tak melekat sana sini macam sabun. Cara mudah dan jimat ialah parutkan sabun mandi dan masukkan ke dalam bekas. Campur dengan air dan tuang ke dalam botol gel mandian yang telah kosong. Ianya akan bertukar menjadi gel mandian cuma mengambil sedikit masa untuk sabun mencair dan sebati dengan air.
Kalau selalu ke hotel... jangan buang sabun-sabun percuma. Guna cara yang sama dan jadikan handwash.

Saya juga tidak lagi beli rubber band kerana saya kumpul dari getah pengikat plastik2 makanan atau barang yang dibeli. Plastik juga jangan dibuang kerana boleh digunakan untuk mengisi sampah.

Saya tidak buang balang jem, balang nescafe dan tin susu. Semuanya akan saya cuci dan balang-balang itu saya gunakan untuk mengisi rempah, gula, garam dan sebagainya. Tin susu saya gunakan sebagai pasu bunga untuk tanaman pokok-pokok herba yang kecik juga untuk mengisi barang-barang kecil seperti skru dan paku.

Saya gunakan lampin kain untuk anak saya di rumah. Sekurang-kurangnya dapat menjimatkan penggunaan lampin pakai buang. Lampin kain memang agak mahal tetapi sangat jimat untuk jangka panjang.

Baju-baju anak saya yang tidak lagi muat atau pudar, saya potong-potong dan jahitkan kembali untuk dijadikan selimut untuknya. Sangat personal touch dan eksklusif.

Majalah-majalah lama dan suratkhabar saya kumpul dan jual pada Paper Lama.... Paper Lamaaaa!!!!! Ada baju-baju, kasut dan beg tangan saya yang lama tetapi masih elok saya beri kepada mereka yang memerlukan, begitu juga dengan pinggan mangkuk dan periuk lama.

Jangan lupa, kemahiran memasak sangat penting untuk penjimatan. Perbelanjaan membeli makanan siap untuk setiap hari amat tinggi jika dibandingkan dengan kos memasak sendiri.

Rajin-rajinkan diri untuk mengemas dan mencuci rumah sendiri. Perkhidmatan mencuci rumah berharga RM20 sejam paling kurang. Ringankan tulang, bangun sapu sampah, mop lantai, cuci rumah sendiri. Ajak suami. Ianya boleh menjadi aktiviti keluarga yang menyeronokkan dan mengeluarkan peluh. Apa guna pergi gym kalau rumah macam reban ayam.

Jika suka berinternet, jangan hanya pandai buka Facebook sahaja. Cubalah layari laman-laman web DIY  yang sangat menyeronokkan. Di samping mendapat ilmu, masa lapang juga terisi dengan berbagai aktiviti bersama keluarga. Duit pun jimat.

No comments:

Post a Comment